Seorang pesara, Ahmad Saifuddin (baju putih) menunjukkan mayat yang ditemui tertiarap di tepi Pantai Cherating kepada pihak polis.

KUANTAN – Seorang pesara bersama isterinya yang berjogging di pesisir Pantai Cherating di sini terkejut menemui mayat yang di pantai itu kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Ahmad Saifuddin Ahmad Zainuddin, 58, sama sekali tidak menyangka mayat yang ditemui itu adalah penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18 yang dilaporkan hanyut dibawa ombak sejak semalam.

“Saya biasa berjogging di situ setiap hari bersama isteri. Kemudian nampak dari jauh macam orang tapi nampak macam kayu. Jadi saya datang dekat tengok, rupanya orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Saifuddin yang mengakui tidak tahu berlaku kes individu lemas dan masih hilang di kawasan berhampiran terus membuat panggilan kecemasan meminta polis untuk segera ke lokasi.

Dalam masa sama, dia turut memastikan mayat mangsa tidak ditarik ombak ke laut ketika menunggu  polis memandangkan ketika itu air pasang dengan ombak besar.

Mayat penuntut UiTM Dungun, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, yang ditemui tertiarap di pantai kira-kira sembilan kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

“Air masa tu sedang pasang dan macam nak tarik dia. Jadi saya pun tahan la dekat situ supaya tak masuk ke laut semula. Nak pegang, takut.

“Muka mangsa tu terlekat di pasir tapi badan sudah timbul. Kalau datang ombak kuat lagi, terus kena tarik,” katanya.

Dia yang menetap di Cherating Perdana memberitahu, mayat mangsa ditemui tertiarap di pantai itu memakai singlet celoreng hijau dan seluar pendek hitam.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan mayat Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, ditemukan di kawasan Pantai Baging iaitu kira-kira sembilan kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah, Asistem Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam kenyataannya mengesahkan mangsa telah ditemui oleh orang awam yang sedang beriadah di persisiran Pantai Cherating.

Ahmad Saifuddin (baju putih) menunjukkan mayat mangsa yang ditemui tertiarap di tepi Pantai Cherating kepada pihak polis.

Bertindak atas maklumat terbabit, katanya, polis dari Balai Polis Cherating telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan hilang sejak semalam dan telah ditemui di belakang pusat MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), Cherating.

“Ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman awal dan mengesahkan identiti mangsa,” katanya lagi.

Tambah Wan Mohd Zahari, pemeriksaan awal ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan perkara mencurigakan berunsurkan jenayah.

Jelas beliau, mayat mangsa seterusnya di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk ujian Covid-19 dan tindakan selanjutnya bagi mengetahui punca kematian.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mayat pelajar UiTM lemas di Cherating ditemui

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast