Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – “Dah viral tapi tak betul.”

Itu respon ringkas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika diminta mengulas tentang kemunculan poster #RESETUMNO yang memaparkan gambar lapan pemimpin parti UMNO.

Kelapan-lapan pemimpin UMNO itu digambarkan sebagai kumpulan yang bakal mencabar kepimpinan parti yang kini diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan kelak.

Poster yang tular hari ini iaitu hari pertama Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) menamakan Datuk Seri Johari Ghani sebagai calon Presiden UMNO diikuti Khairy Jamaluddin sebagai Timbalan Presiden.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang pula diletakkan sebagai calon Naib Presiden UMNO sebaris dengan bekas Menteri Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, beliau turut mengakui telah melihat poster berkenaan.

Poster #RESETUMNO yang tular.

Difahamkan penularan #RESETUMNO dikaitkan dengan pihak tertentu yang mahu menjadi pencabar kepada kepimpinan UMNO sedia ada.

Terdahulu MalaysiaGazette turut melaporkan Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun menafikan terbabit dengan mana-mana gerakan untuk menjatuhkan presiden UMNO.

Artikel berkaitan: Saya tak terlibat dalam gerakan jatuhkan presiden parti – Masliha

Poster berkenaan turut memaparkan gambar Datuk Dr. Noraini Ahmad sebagai calon Ketua Wanita, Shahril Hamdan (Ketua Pemuda) dan Dr Masliha (Ketua Puteri).  MalaysiaGazette