Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) menyifatkan kenyataan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kecil dan Sederhana negeri, Teng Chang Khim sebagai biadab kerana mengaitkan isu arak dengan solat umat Islam.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang itu boleh mempertahankan arak, tetapi tidak boleh memperlekehkan solat umat Islam.

“Hantaran ADUN dari DAP itu menerusi akaun Facebooknya semalam sangat biadab. Dia sengaja memainkan sentimen agama dengan memperlekehkan umat Islam dan solat dengan isu arak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi hantaran itu, Chang Khim memuatnaik status, “Kalau kamu tak minum (arak), tapi tengok pun boleh mabuk, itu masalah kamu, bukan masalah arak. Sia-sia kamu sembahyang”.

Exco itu memuatnaik status itu rentetan tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan bertemu dengan pihak pengurusan Sunway Carnival Mall bagi menyampaikan ketidakselesaan pengunjung Muslim.

Chang Khim memuatnaik status biadab itu kerana tidak puas hati dengan tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh bantah pesta arak di Sunway Carnival Mall.

Dalam pertemuan itu, Pas Permatang Pauh membantah sebarang penjualan atau promosi arak secara besar-besaran seperti di ruang legar utama kompleks beli belah itu.

Penganjur bagaimanapun, menyambut baik bantahan itu dan berjanji menganjurkannya secara tertutup dalam tempoh seminggu ini, demi menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat sekitar.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menjelaskan, Pemuda Pas Selangor menyokong dan mempertahankan tindakan Muhammad Fawwaz tersebut kerana itulah yang dilakukan oleh DPPS selama ini.

“Selama ini, kita ambil serius isu berkaitan arak dan kes mabuk dengan cara membuat bantahan, mengkritik dan memberikan solusi.

“Nampaknya, Chang Kim ini mempunyai banyak masa kosong dengan menyibukkan diri dalam isu berkaitan arak sekalipun kejadian itu berlaku di luar Selangor.

“Kita tahu arak ini jelas perkara yang mendatangkan kerosakan lebih besar ditambah lagi dengan isu kemalangan jalan raya sehingga ada yang terkorban disebabkan kes mabuk,” ujar beliau.

Katanya, sebagaimana Exco itu sanggup merentas negeri dengan hantaran yang biadap lagi celupar kerana sayang sangat pada arak, DPPS juga bangkit mempertahankan Muhammad Fawwaz atas tindakannya dan akidah yang satu.

“Malunya Selangor ada YB yang celupar, biadap dan sanggup memperlekehkan solat umat Islam. Mana pergi Exco lain yang beragama Islam dalam kerajaan negeri Selangor untuk tegur perbuatan pemimpin ini?

“Sudah jelas dalam banyak kali kenyataan media sama ada tulisan atau lisan sebelum ini, arak hanya lebih membawa kemudaratan sama ada moral syaksiah dan nyawa malah ekonomi negara.

“Mereka yang memiliki akal yang waras pasti tidak menerima arak itu sesuatu yang membawa kebaikan yang banyak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Bukan ethnik tempatan ada hak asasi warganegara daripada negara-negara asal mereka masing-masing pun dianugerah warganegara tempatan politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.