Special Branch defamation suit pontianak false claims

SINGAPURA – Seorang bekas guru prasekolah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana mendera seorang budak lelaki berkeperluan khas berusia empat tahun apabila dia tidak tidur pada waktu tidur siang.

Tertuduh, seorang wanita berusia 52 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan mendera kanak-kanak lelaki itu di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.

Kanak-kanak tersebut, yang mengalami masalah pertuturan – mula bercakap ketika berumur lima tahun juga mengalami kesukaran untuk mengekalkan pandangan mata dengan orang lain sejak usia muda.

Pada 2 Disember 2020, tertuduh cuba menidurkan budak lelaki itu di bilik yang ditetapkan tetapi menjadi marah dan kecewa apabila dia tidak berjaya.

Tertuduh yang letih dan lapar kerana dia belum makan tengah hari telah menarik bahu budak lelaki itu ke hadapan, menyebabkan mangsa terguling di atas lantai dan terjatuh di luar tikar tidurnya.

Dia juga mengheret budak lelaki itu ke atas lantai dan menarik telinga menyebabkan mangsa menekup telinga kerana kesakitan.

Rakan sekerja wanita itu mendengar budak lelaki itu menangis tetapi tertuduh terus bertindak kasar.

Ibu budak lelaki itu melihat kesan pada anaknya kemudian membuat laporan polis.

Pihak sekolah membayar bil perubatan mangsa dan tertuduh telah dipecat dua hari selepas kejadian.

Peguam bela Chung Ting Fai cuba meminta hukuman pengawasan bagi pihak anak guamnya, atau penjara lapan bulan sebagai alternatif.

Beliau berkata, anak guamnya disahkan menghidap kemurungan yang teruk sejak tiga tahun lalu, akibat tekanan kerja dan keluarga.

CNA dalam laporannya memetik kenyataan peguam bela bahawa anak guamnya mengetahui mangsa seorang kanak-kanak keperluan khas dan disyaki autisme, tetapi anak guamnya tidak dilatih secara khusus untuk mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas.

Pendakwa raya membantah sebahagian daripada mitigasi yang menyatakan tertuduh “diprovokasi” oleh “kanak-kanak autisme yang sangat aktif”.

Hakim Daerah John Ng berkata, permintaan pihak pembelaan untuk meletakkan tertuduh dalam pengawasan tidak boleh dibenarkan dan “salah letak” kerana prinsip hukuman dalam kes ini bukan pemulihan tetapi pencegahan.

“Tiada tempat untuk pengasuh dewasa kanak-kanak kecil dalam mana-mana keadaan untuk menyebabkan apa-apa kecederaan kepada mana-mana individu atau kanak-kanak dalam jagaan orang dewasa itu, tidak kira betapa tegang atau tertekannya dia,” kata Hakim Ng.

Bagaimanapun, hakim mengambil kira penyesalan wanita itu yang telah menjaga kanak-kanak lain dengan betul dan telah mengaku bersalah.

Hakim juga membenarkan wanita itu menangguhkan hukuman penjara sehingga selepas Tahun Baru Cina. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast