Sebahagian perwakilan mula tiba bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketidakupayaan UMNO memenangi majoriti kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu dilihat tidak mematahkan semangat pemimpin mahu pun akar umbi kepada parti  itu.

Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi Parlimen sahaja namun ia tidak memudarkan semangat perwakilan bagi menyertai Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang bermula hari ini hingga 15 Januari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette pada hari pertama PAU2022 mendapati, perwakilan yang datang dari Sabah ternyata bersemangat dan tidak beralih arah meskipun UMNO bertindak membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya.

Menurut Penolong Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Munira Sarri, apa pun yang berlaku, beliau tidak lari daripada perjuangan dan menaruh harapan tinggi kepada presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memulihkan semula parti itu.

Penolong Setiausaha (UMNO) Bahagian Beufort, Munira Sarri . Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

Mood perwakilan kali ini kalau kami dari pedalaman Sabah masih lagi bersemangat, biar macam mana pun, kami tetap dengan UMNO.

“Kami tetap dengan semangat dalam PAU kali ini. Kami mengharapkan satu hari nanti UMNO akan kembali menang dan memenangi PRU dengan majoriti bagi membentuk kerajaan balik.

“Harapan kami masih tinggi lagi, tidak akan putus harapan, masih setia dengan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak pula tidak menafikan PAU kali ini mempunyai banyak perbezaan khususnya ketika parti itu menjadi penentu pembentukan kerajaan pusat.

Timbalan Ketua (UMNO) Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak. Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

“Saya merasakan PAU 2022 adalah forum terbaik kepada presiden dan kepimpinan tertinggi UMNO untuk menjelaskan dan lebih terbuka mengenai kenapa kita sertai Kerajaan Perpaduan.

“Itu penting untuk rakyat dan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi mendapat penjelasan secara langsung melalui PAU kali ini.

“Kali ini kita hilang majoriti, pada 2018 PAU pun memang suram kerana kita hilang kerajaan tetapi kali ini kita hilang majoriti lebih dari 2018 tapi kali ini kita berupaya untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya lagi.

Bagi Ketua Wanita UMNO Sabah merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Dr Jainab Ahmad, perwakilan tidak sabar untuk mendengar amanat  mengenai formula dan hala tuju parti selepas menyertai Kerajaan Perpaduan bersama PH.

Sebahagian perwakilan mula tiba bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

“Walaupun kita sudah kalah, PRU14 banyak kerusi tapi PRU15 banyak kita hilang kerusi tapi kehadiran para perwakilan masih okay lagi. Ada perwakilan masih sedih dan tidak tahu apa-apa.

“Walaupun kita kalah tapi UMNO nampaknya masih lagi berkuasa sebab formula berkongsi kuasa dan UMNO sebenarnya menjadi penyelamat kepada PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang ini kita mahu mendengar kata-kata Presiden UMNO, apa dia Kerajaan Perpaduan ini. UMNO dan PH bagaikan bumi dan langit, kita mahu tahu apa formula yang boleh kita buat supaya sebati dengan perjuangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sabil UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Syafiq Zakaria melihat parti Melayu itu masih relevan dalam landskap politik negara sehingga diperlukan dalam pembentukan kerajaan pusat.

Pengerusi Sabil Iskandar Puteri, Syafiq Zakaria. Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

“Walaupun BN hanya menang 30 kerusi sahaja baru-baru ini, namun dengan 30 kerusi itu menjadi penentu pembentukan kerajaan, ke kiri atau ke kanan pun boleh untuk bentuk kerajaan.

“Bagi saya, momentum UMNO dan akar umbinya sama dan mungkin lebih baik sebab kita jadi parti yang sangat diperlukan ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette