KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan telah mendedahkan wujud satu lagi gerakan untuk menubuhkan kerajaan sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.
Menurut sumber yang ada dalam sesi Taklimat Presiden di Dewan Merdeka lewat petang tadi, Ahmad Zahid mendedahkan wujud ‘Langkah St Regis’ yang dibentuk semasa mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 22 November tahun lalu.
“Pada malam mesyuarat Dewan Tertinggi BN bersidang wujud perancangan dibuat untuk menyingkirkan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) malah jika langkah itu berjaya, (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) telah menanti di (hotel) St Regis Hotel untuk mendapatkan sokongan (daripada Ahli Parlimen BN),” kata sumber yang enggan dinamakan itu.
Dalam taklimat itu, sumber itu turut mendakwa Presiden Perikatan Nasional (PN) itu sudah menunggu di hotel berkenaan.
“Setiausaha Barisan Nasional (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) selepas mesyuarat Dewan Tertinggi menerima panggilan dari pemimpin Pas yang bertanya mengapa beliau masih belum tiba di sini (St Regis) lagi,” kata sumber itu lagi.
Pada 22 November lalu, satu pertemuan dibuat beberapa pemimpin BN dan PN di St Regis.
Ia dihadiri Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pertemuan itu dibuat bagi membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan Persekutuan sekali gus memilih Perdana Menteri ke-10. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: