Ahmad Shabery Cheek. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO memberi jaminan parti Melayu itu tidak akan lari daripada prinsip perjuangan asal untuk membela kepentingan negara, agama dan nasib orang Melayu di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jaminan itu diberikan sendiri presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika dalam Majlis Taklimat Presiden UMNO, hari ini.

“Presiden UMNO menegaskan UMNO tidak akan lari daripada prinsipnya, khususnya membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya ini tidak ada kompromi dalam perjuangan ini.

“Presiden meminta kita untuk muhasabah diri, tapi yang penting sekali presiden telah menyatakan hala tuju parti selepas ini.

“Ini termasuk peranan yang dimainkan oleh UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sekarang,” katanya kepada pemberita, di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, kebanyakan perwakilan yang hadir dalam majlis taklimat itu menyambut baik penjelasan Presiden UMNO itu berhubung langkah parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Presiden menggariskan sikit tentang beberapa kronologi sehingga mengapa UMNO buat keputusan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan ini.

“Saya rasa pada keseluruhannya mendapat reaksi yang baik, sambutan begitu mantap sekali daripada perwakilan yang hadir pada taklimat UMNO ini,” katanya.

Ketika ditanya tentang ketidakhadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau bagaimana tidak dapat menjelaskan perkara itu, sebaliknya jasa Naib Presiden itu dihargai Ahmad Zahid dalam taklimat itu.

“Saya tak pasti tentang kenapa beliau tidak hadir, yang pasti beliau pasti ada sebab-sebab tertentu.

“Tetapi presiden mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan oleh Datuk Seri Ismail kepada kerajaan dan juga parti.

“Rasa kita tak perlu sensitif sangat tentang perkara ini buat masa ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette