Amirul menunjukkan beg-beg yang dihasilkannya.

JOHOR BAHRU –  Kekurangan yang terdapat pada seseorang tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mencapai kejayaan.

Jika diberi peluang dan pendedahan disertakan dengan usaha dan keazaman sudah pasti apa yang diimpikan boleh dicapai.

Pelatih Persatuan Cerebral Palsy Johor, Ahmad Amirul Mohamed berkata, kekurangan yang dialami beliau penghalang untuk menghasilkan beg yang dihasilkannya menggunakan pek plastik makanan

Anak pertama dari dua beradik ini difahamkan mengidap cerebral palsy atau gangguan pergerakan kekal sejak lahir mempunyai keistimewaan yang luar biasa apabila dia mampu membuat anyaman beg yang cantik, kemas dan mengikut citarasanya sendiri.

Menurutnya, kekurangan dialami beliau bukan halangan untuk beliau menghasilkan produk yang sama kualiti dengan insan normal.

Amirul yang berusia 29 tahun itu dilihat seorang proaktif juga sentiasa membantu rakan-rakan lain dalam membimbing rakan senasib untuk menjana ekonomi sendiri.

Menurut Penyelia Bengkel Vokasional Halimah Mohd Sohod, bakat insan istimewa ini mula dikesan sejak kelas anyaman bakul diperkenalkan pada 2019.

“Kita sebagai pelatih atau tenaga pengajar di sini sudah semestinya tahu kecenderungan setiap pelatih kami dan saya perasan dia amat berminat dengan anyaman.

“Dari situ dia belajar dan terus belajar sehingga mampu menghasilkan beg yang dianyam dengan menggunakan bekas pek makanan dengan baik sekali,” katanya sambil menambah hasil tunjuk ajar, Amirul berjaya membuat beg dari bekas pek makanan dengan sempurna.

Tempoh yang diambil beliau untuk menyiapkan beg antara satu hingga dua bulan.

Halimah berkata, beg yang dihasilkan anak muridnya mendapat sambutan baik dan ia dijual pada harga antara RM40 hingga RM80, mengikut saiz dan corak.

“Di sini hanya Amirul sahaja yang membuat anyaman disebabkan minat dan kesungguhan yang beliau tunjukan. Rakan-rakan beliau yang lain lebih menjahit dan sebagainya.

“Hasil-hasil pelatih di sini sememangnya ada peminat dia sendiri dan kebanyakan yang mereka hasilkan juga mendapat permintaan daripada orang-orang yang dikenali. Mungkin ini juga sebahagian cara untuk golongan ini menghargai anak istimewa di sini,” ujarnya.

Persatuan Cerebral Palsy Johor yang ditubuhkan pada 1967 sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kanak-Kanak Spastik Johor.

Persatuan tersebut memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak dan orang dewasa kurang upaya cerebral palsy melalui Sekolah Pendidikan Khas, Terapi Pemulihan, Latihan Vokasional dan Bengkel.

Sebahagian besar kos operasi tahunan Persatuan Cerebral Palsy Johor sebanyak RM1.8 juta adalah daripada sumbangan dan derma orang ramai. – MalaysiaGazette