MELAKA – Seorang anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengugut untuk menikam sampai mati bekas kekasihnya yang berhutang, tahun lalu.
Tertuduh, Anis Anuar, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan kepada Mohamad Faizul Mohd. Fadli, 32, dengan kata-kata ‘kalau aku jumpa memang kena tikam sampai mampus, suruh bayar semua duit aku dulu kalau tak aku bunuh dia. Bagitahu Faizul Neko pu*im*k tu kalau dia berani datang cari aku nak balas dendam lepas pasni, aku standby dengan Samurai’.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di pos pengawal Gate A, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dalam daerah Melaka Tengah pada 8 September 2022.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, tertuduh yang juga ibu tunggal bertindak demikian selepas berang bekas kekasihnya itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berhutang dengannya kira-kira RM60,000.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 serta syarat tambahan penjamin mestilah ahli keluarga terdekat, tertuduh tidak mendekati pengadu dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.
Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu kadar jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpangkat rendah di JIM selain sedang menjalani rawatan psikiatri.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan bersetuju dengan kesemua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 21 Februari ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette