Syaiful Rizal (kanan) menyampaikan alat bantuan pendengaran kepada Nurul Husna Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukan kira-kira RM28,600 kepada Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Miskin Malaysia untuk membantu meringankan beban asnaf.

Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sumbangan itu untuk membantu lima asnaf yang menghidap masalah kurang pendengaran dengan menyediakan peralatan pendengaran.

“Memahami nasib mereka yang memerlukan ini, YBR menyediakan peruntukan sebanyak RM28,600 untuk membiayai alat pendengaran kepada asnaf berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Cek bantuan itu disampaikan Syaiful Rizal kepada Setiausaha Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Malaysia, Datuk Dr. Faisal Abdullah.

Menurut Syaiful Rizal, sumbangan itu bagi meringankan beban asnaf berkenaan dalam meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, dengan bantuan alat pendengaran itu juga diharapkan dapat mengurangkan masalah komunikasi harian mereka yang selama ini tidak mampu memilikinya kerana kos yang sangat tinggi.

“YBR akan terus berusaha mengenal pasti golongan kurang bernasib baik daripada pelbagai kategori termasuk anak yatim, pesakit terlantar dan sebagainya serta berharap lebih banyak pihak tampil bagi memberikan bantuan kepada golongan OKU yang sentiasa memerlukan sokongan serta bantuan.

“Bantuan ini bagi membolehkan mereka menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik, sama seperti yang lain.

“Tahun lalu, YBR telah memperuntukan dana lebih RM800,000 dan kepada 37,500 penerima,” katanya.

Kata beliau, mereka dapat memanfaatkan sumbangan itu yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Orang ramai yang hendak menyumbang kepada pertubuhan itu boleh menghubungi pejabat urusannya di talian 03-4021 8271. – MalaysiaGazette