Pertukaran dokumen MoU antara Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kiri) dan Zambery Jefry Darus (dua dari kanan) di Menara PTPTN di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Veteran ATM (YVATM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik menyantuni keperluan pendidikan anak-anak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kerjasama itu merangkumi pelbagai skop iaitu Program Insentif Simpanan Anak Veteran ATM; Program Dermasiswa Anak ATM/Veteran ATM; bersama meningkatkan kesejahteraan warga YVATM melalui pelbagai program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR); Program promosi produk / perkhidmatan bersama; dan Program Sahabat PTPTN.

Melalui kerjasama strategik ini, YVATM akan memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 1,000 orang kelahiran baharu anak-anak veteran ATM pada tahun 2022 dengan peruntukan kewangan berjumlah RM1 juta.

Setiap anak kelahiran baharu akan menerima sumbangan RM1,000.

YVATM dan PTPTN berkata, objektif utama sumbangan ini bagi memastikan anak-anak kelahiran baru ini mempunyai simpanan pendidikan untuk digunakan selepas berumur 18 tahun bagi membiayai kos melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri), i Abdul Razak Jaafar (dua dari kiri), Muez Abdul Aziz (dua dari kanan) dan Zambery Jefry Darus (kanan) bergambar bersama replika sumbangan YVATM dan PTPTN di Menara PTPTN di sini hari ini.

Selain itu, YVATM turut memberi sumbangan berjumlah RM215,500 melalui Program Insentif Kecemerlangan SPM 2021 kepada 431 anak-anak veteran ATM.

Setiap pelajar akan menerima sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM500 dan PTPTN turut memberi sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime melalui Program Dermasiswa berjumlah RM50,000 untuk 500 anak ATM/ veteran ATM yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) sebagai motivasi dan galakan kepada pelajar kerana berjaya memasuki IPT.

Selain itu sumbangan ini merupakan sokongan semua pihak termasuk YVATM dalam usaha PTPTN untuk mentransformasikan minda masyarakat Malaysia bagi meningkatkan penabungan pendidikan dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan untuk melanjutkan pengajian.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Menara PTPTN disempurnakan oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, juga Ketua Pegawai Eksekutif YVATM Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus, manakala PTPTN diwakili oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Ia disaksikan oleh Datuk Seri Muez bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan
Tinggi. – MalaysiaGazette