Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pihak yang mahu merebut jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO dicabar untuk membuat pengumuman dengan segera.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, pihak terbabit tidak perlu untuk menyembunyikan diri sehingga saat akhir pemilihan berlangsung.

“Mungkin siapa-siapa yang nak bertanding jawatan tertinggi ini presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden itu, mereka umum awal-awal buat apa nak sorok-sorok.

“Kalau kita cakap malam-malam sahaja, belakang-belakang tak elok. Siapa nak bertanding umum awal-awal. Tak perlu sorok-sorok. Saya ingat platform perhimpuan agung UMNO dan semua perwakilan ada umumlah siapa nak bertanding.

“Jangan berselindung last-last minute kemudian menggerakkan kuncu-kuncu buat kerja malam-malam. Bagi saya itu bukan demokrasi yang baik,” kata Isham.

Bercakap sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menjadi lokasi Perhimpunan Agung UMNO, Isham menafikan dakwaan bahawa UMNO melarang kedua-dua jawatan utama itu daripada dipertandingkan.

Menurut Isham, dia dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti mahu meminda perlembagaan bagi memastikan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

“Saya ingin jelaskan ini tidak bermaksud kita ingin menghalang siapa-siapa bertanding ya. Tidak. Saya dan Datuk Seri Ahmad Maslan sudah buat kenyataan banyak kali kita tidak ada apa-apa cadangan untuk pinda perlembangaan supaya jawatan ini tidak dipertandingkan.

“Parti-parti lain tidak bertanding jawatan presiden tapi 2018 kita pertandingkan jawatan-jawatan ini,” tegas beliau.

Isham berkata demikian ketika menjawat soalan media berhubung pengumuman 140 ketua bahagian UMNO yang meminta supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah ketua bahagian yang menyokong langkah itu adalah melebihi dua pertiga daripada keseluruhan bahagian UMNO yang ada.

“UMNO ada 191 bahagian. Dua bahagian digantung sebab disiplin. Kalau 140 daripada 189 bahagian itu lebih dua pertiga ketua-ketua bahagian UMNO mencadangkan supaya jawatan ini tidak dicabar.

“Ini inisiatif ketua-ketua bahagian sebabnya mereka tidak mahu pada masa kritikal ini akan huru harakan UMNO sebab kita baru masuk kerajaan perpaduan.

“Kerajaan ini masih rapuh pada saya, sebab kalau pemilihan ini terjadi perkara yang tidak diingini politik wang, tajaan luar dan macam-macam spekulasi ini mungkin dipertimbangkan oleh 140 ketua-ketua bahagian ini,” katanya.

Seramai 140 Ketua UMNO Bahagian sebulat suara tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, mereka sepakat memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan perkara tersebut, kerana UMNO pada saat ini perlu diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.-MalaysiaGazette