KUALA LUMPUR – UMNO tidak lagi boleh kekal dengan cara dan pendekatan lama, sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan yang sudah berubah untuk membolehkan parti itu kekal relevan.
Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasaran berkata, langkah UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan membuktikan parti Melayu itu berada di landasan tepat, sesuai dengan tuntutan semasa.
“Ucapan Timbalan Presiden pada malam ini secara ikhlas menunjukkan bahawa landskap dan perubahan politik dalam negara ini, UMNO mesti bersedia melakukan perubahan besar.
“Keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan diperjelaskan secara terperinci oleh Timbalan Presiden, memperkukuhkan apa yang disebut oleh Presiden parti waktu majlis taklimat Presiden petang tadi.
“Beliau memberikan pemahaman yang jelas kepada ketiga-tiga sayap UMNO untuk membolehkan kita merangka strategi dan pendekatan baharu bagi menghadapi cabaran baharu yang berbeza berbanding tahun dulu.
“Saya percaya ucapan Timbalan Presiden akan dikupas dengan terperinci oleh Pemuda, Puteri dan Wanita, malah kita harap akan beri kebaikan kepada parti,” katanya kepada pemberita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Terdahulu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan agar UMNO perlu kembali menjadi paling bersih, berwibawa dan berkesan dalam mewakili kepentingan Melayu, Malaysia dan Islam.
Menurutnya, ahli UMNO perlu mempunyai iltizam untuk merawat, memulih dan membangunkan SEMULA parti itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. – MalaysiaGazette