Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan bertegas jawatan presiden dan timbalan perlu dipertandingkan.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, pertandingan adalah perkara biasa dalam parti.

“Setuju. Memang benda itu biasa terjadi, jadi setuju semua dipertandingkan,” katanya ringkas selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka hari ini.

Shahrir merupakan antara pemimpin awal dalam UMNO yang meletakkan jawatan parti sebagai Ketua Penerangan selepas parti mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Beliau juga antara pemimpin awal yang mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden dan memikul tanggungjawab berikutan kekalahan terus UMNO.

“Yang penting bagaimana bukan hanya menyesuaikan diri dengan politik selepas PRU tetapi juga memahami bagaimana punca keputusan PRU dan apa yang perlu kita lakukan untuk pastikan perkara itu tidak berlaku lagi dan bukan terjurus lebih teruk lagi,” kata Shahrir.

Turut meminta agar jawatan presiden dan timbalan  dipertandingkan adalah Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar .

Rizalman berkata, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi polemik kerana daripada segi perlembangaan parti sudah disusun baik tentang tempoh memegang jawatan dan kaedah pemilihan.

“Pada tahun ini sepatutnya proses itu berlaku dan pada saya kita harus terbuka tentang proses ini. Saya percaya walaupun ada pemilihan kita mempunyai perwakilan dan ahli yang matang dalam membuat keputusan. Saya setuju (jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan),” katanya.

Ahmad Zahid dalam ucapannya menyerahkan kepada perwakilan yang hadir dalam perhimpunan untuk membuat keputusan sama ada jawatan utama dalam parti itu perlu dipertandingkan atau tidak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan parti itu perlu membuat pemilihan di semua peringkat jawatan tertinggi sebelum 19 Mei depan.

Jelasnya, ia ekoran permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast