Bung Mokhtar Radin. Foto MUHD NA’IM, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan tindakannya menarik sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Nor adalah untuk menggulingkan kerajaan Sabah.

Jelasnya, soal penggulingan dan pembentukan kerajaan baharu adalah dua perkara berbeza.

“Mengguling (kerajaan) ini berniat jahat tetapi tujuan kita ini adalah untuk membetulkan hala tuju politik agar rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.

“Sebaliknya, mengguling ini maknanya membinasakan. Jadi, mesti ada definisi berbeza. Jadi, kita tidak pun mengguling apa yang kita buat adalah untuk menentukan rakyat Sabah itu mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintahan pada ketika ini,” katanya selepas menghadiri sesi Ucapan Dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia  hari ini.

UMNO Sabah sebelum ini menarik balik sokongan terhadap Ketua Menterinya namun tindakan itu tidak menyebabkan Hajiji digugurkan dari jawatannya.

Bung beralasan pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat parti selepas hilang kepercayaan kepada kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

“Politik Sabah ini tak boleh selesai walaupun di Sabah sudah tenang tetapi pergolakan masih belum selesai sebab pembentukan kerajaan pada peringkat awal adalah daripada UMNO dan juga PN (Perikatan Nasional) dan ini menjadi satu persoalan jadi tak apa. Orang mahu komen politik, kita main politik,” katanya.

Dalam pada itu, Bung turut diminta mengulas samada parti itu akan mengambil tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bertindak memandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk terus menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Ia akan ditentukan oleh parti dan kita tunggu apa yang parti boleh lakukan untuk kelima-lima yang bertindak di luar jangka itu,” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri I kini disandang oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan dengan mengekalkan jawatan Menteri Pertanian dan Perikanan yang dipegang beliau sebelum ini.

Menggantikan Bung sebagai Menteri Kerja Raya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya yang turut menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri III Sabah mewakili kuota UMNO/Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette