Zambry Abdul Kadir. Foto MUHD NA’IM , 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Zambry Abdul Kadin menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan tertinggi UMNO dengan keazaman untuk membina semula parti itu.

Bagaimanapun, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam memilih kerusi yang bakal ditandinginya pada pemilihan UMNO nanti.

“Saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang membina semula parti ini. Kerusi itu akan saya umumkan nanti,” katanya ringkas kepada media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Zambry sebelum ini menang kerusi MKT pada pemilihan yang dibuat pada 2018 lalu.

Dalam sidang media sama, Zambry berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen terhadap beberapa kerusi yang tidak dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), November tahun lalu.

Jelasnya, langkah itu dibuat selepas kerusi-kerusi itu dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).

“Kita akan umumkan nanti (berapa petisyen), memang ada kawasan yang kita akan failkan nanti kita (BN) akan umumkan,” katanya lagi.

Tambah Zambry, perkara itu akan diumumkan pengerusi jawatankuasa

“Kita sudah kenal pasti beberapa kawasan dan secara tepatnya akan diumumkan,” katanya lagi.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menerima petisyen daripada calon BN bagi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi mencabar keputusan PRU15 bagi keputusan pilihan raya itu.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata, petisyen berkenaan difailkan pada 3 Januari lalu.

Enam lagi petisyen difailkan melibatkan Parlimen Lubok Antu, Sandakan, Segamat, Putatan, Tenom dan Tuaran. – MalaysiaGazette