Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan termasuk menghalang pemilihan jawatan tertinggi parti dijalankan setiap tiga tahun atau pun membuat penangguhan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun PAU merupakan kuasa tertinggi dalam parti dan boleh membuat sebarang keputusan namun ia tertakluk kepada Perlembagaan.

“Kalau lihat Fasal 8.1 Perlembagaan UMNO yang mengatakan bahawa PAU merupakan kuasa tertinggi dalam parti dalam menentukan perjalanan parti tetapi tertakluk kepada Perlembagaan.

“Dalam Perlembagaan dari segi memilih jawatan, ianya hendaklah dibuat secara pemilihan, tiga tahun sekali atau pun penangguhan seterusnya dilaksanakan di peringkat bahagian.

“Pemilihan hendaklah dipilih jawatan seperti Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi,” katanya pada sidang media selepas ucapan penangguhan Presiden UMNO pada PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, menurut Perlembagaan UMNO, perkataan hendaklah merujuk kepada satu kemestian untuk melaksanakan pemilihan parti dan tidak disebut perkataan ‘mungkin’ untuk menjalankan pertandingan jawatan parti.

“Apabila disebut hendaklah, dalam Bahasa Inggerisnya ‘shall, dalam bahasa kampung kita, mestilah, kalau ‘may’ dia ada pilihan.

“Oleh kerana shall maka sudah tidak ada pilihan. Walaupun PAU membuat keputusan tetapi Perlembagaan telah menetapkan perkara tersebut hendaklah dipilih di peringkat bahagian.

“Maka PAU tidak boleh membuat keputusan ultra virus bertentangan dengan Perlembagaan, jadi kita tak tahulah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memberitahu, ada pandangan perundangan mengatakan bahawa PAU merupakan tempat tertinggi di dalam parti untuk membuat sebarang keputusan.

“Ada pandangan, keputusan PAU tiada pemilihan presiden dan timbalan dari segi perundangan, ada yang kata okay kerana diputuskan waktu PAU.

“Ini kerana PAU merupakan tempat tertinggi di dalam parti dari untuk membuat sebarang keputusan dan pandangan itu dibenarkan pengerusi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast