KUALA LUMPUR – Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu mengkritik UMNO apabila bekerjasama dengan DAP dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana, dua parti itu terlebih dahulu bersama DAP ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih sebagai kerajaan sebelum 2018, tegas perwakilan Kelantan, Datuk Zawawi Othman,
“Dua parti ini, yang lantang mengkritik UMNO adalah ‘perogol’. Mereka tidak habis-habis mempersendakan kita apabila bekerjasama dengan DAP.
“Sedangkan, mereka terlebih dahulu telah menjalinkan kerjasama dengan parti sekutu Pakatan Harapan (PH) ini dalam Pakatan Rakyat (PR) dan kerajaan PH tahun 2018.
“Walaupun kita tak kata DAP baik, tetapi sejahat-jahat DAP, Pas bercium mulut lama dah. Bila kita dok sekali (bersama DAP) mereka cakap (DAP) jahat,” katanya ketika membahas usul ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) hari ini.
Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, UMNO dan BN kalah pada PRU15 yang lalu kerana diadakan lewat daripada yang dijangkakan.
Sepatutnya, kata beliau, pilihan raya itu diadakan lebih awal lagi iaitu ketika tidak timbul isu rakyat yang melibatkan kenaikan harga telur dan ayam.
“Kita silap kerana sepatutnya kita adakan pilihan raya awal lagi, sebaliknya kita ketika harga ayam dah naik dan semua harga barang keperluan naik.
“Saya yakin dan percaya jika PRU diadakan lebih awal, UMNO tidak akan menerima nasib seperti mana hari ini.
“Malah, mungkin UMNO dan BN jadi parti dominan dalam kerajaan jika PRU15 diadakan lebih awal,” ujar beliau.
Beliau mengharapkan pilihan raya umum ketika itu diadakan sekurang-kurangnya pada April 2022 atau Bersama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – MalaysiaGazette