KUALA LUMPUR – Seramai 194 orang pelajar menerima Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA bagi sesi 2022/2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.556 juta.
Ia termasuk 13 orang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama) Kategori Sepenuh Masa dan lima orang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Lulus Cemerlang) Kategori Pengajian Jarak Jauh (PJJ).
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar menyarankan Koperasi 100 terbaik Malaysia untuk turut serta menyumbang dana kepada Yayasan ANGKASA sebagai usaha menyokong pembangunan modal insan dan taraf pendidikan warga koperasi di negara ini.
Jelasnya, sumbangan dana menerusi penyertaan koperasi-koperasi ini penting sebagai memacu pertumbuhan dan kesinambungan tabung.
Perkara itu bagi memartabatkan pendidikan warga koperasi seterusnya meneruskan pembiayaan pendidikan kepada pelajar pada masa hadapan.
Sementara itu, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dalam ucapannya mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penglibatan pelajar dalam koperasi siswa perlu dipertingkatkan bagi mengembangkan kreativiti keusahawanan dalam perniagaan koperasi.
“Diharapkan melalui pengalaman yang diperolehi dan minat yang disemai di peringkat pengajian tinggi mendorong mereka menjadi koperator yang aktif dan inovatif apabila tamat pengajian.
“Berdasarkan rekod dari tahun 2000 hingga 2022, Yayasan ANGKASA telah menaja 1,506 orang pelajar di pelbagai peringkat dan bidang pengajian dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM29,794,435.70.
“Sejumlah RM10,352,679.50 daripada nilai itu ditukar kepada biasiswa,” katanya.
Majlis yang dihadiri kira-kira 400 orang termasuk pelajar, ibu bapa penjaga dan penyumbang utama Yayasan ANGKASA terdiri daripada Koperasi, Badan Korporat dan individu itu turut menyaksikan Sesi Penyampaian Penghargaan kepada Penyumbang Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA.
Terdapat tiga kategori yang disampaikan iaitu Kategori Badan Korporat dan Agensi, Kategori Koperasi dan Kategori Individu. – MalaysiaGazette