KUALA LUMPUR – Nama Amir Masdi menjadi antara penyanyi yang kian meraih perhatian penggiat industri hiburan tanahair. Bakat dan kualiti vokal dimiliki Amir Masdi tidak perlu disangkal lagi. Ia terbukti menerusi persembahannya dalam pelbagai pertandingan nyanyian di kaca televisyen hingga mendapat pujian ramai.
Pada masa sama, Amir, 27, atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi juga dilihat cukup bertuah apabila mendapat kepercayaan daripada beberapa penyanyi ternama tanahair termasuk diva negara, Dayang Nurfaizah untuk berkolaborasi bersamanya.
Terbaharu, Amir yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL-37) menerusi lagu Debu nerduet bersama Dayang Nurfaizah muncul dengan single baharu berjudul Sengaja hasil ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik serta diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music.
Amir yang juga juara Akademi Fantasia 2016 berkata, dia terus jatuh cinta dengan lagu itu selepas kali pertama mendengar demo lagu pasangan penyanyi popular popular iaitu Hang Nadim (Akim) dan lirik oleh Bunga Cantik (Stacy).
“Sebaik sahaja saya dengar demo lagu ini, saya rasakan ia adalah lagu yang sangat bagus. Saya memang dah lama impikan sebuah lagu daripada Hang Nadim iaitu seorang komposer yang sangat hebat. Kita juga tahu banyak lagu dia yang berjaya meraih anugerah.
“Lagu ini mengisahkan seorang individu yang memendam perasaan di mana dia meluahkan dalam lagu ini bahawa dia selalu dipersalahkan. Apa sahaja yang dibuat pasti dia akan dipersalahkan.
“Jadi, dia meluahkan perasaan geram dalam lagu ini. Pertama kali dengar, saya boleh masuk dengan lagu ini dan saya pasti ramai yang boleh kaitkan kisah daripada lagu ini,” katanya pada sidang media pelancaran Sengaja, baru-baru ini.
Pelancaran Sengaja turut mencipta sejarah apabila dibuat di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream baru-baru ini selepas dipilih oleh stesen radio Suria FM sebagai salah seorang selebriti untuk berlayar selama empat hari tiga malah ke Pulau Pinang dan Singapura.
Mengulas lanjut, Amir menambah, dia sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan pasangan suami isteri itu selain dapat memenuhi hasrat ibunya.
Jelasnya, selama enam tahun bergelar anak seni, ibu selalu mengingati dirnya untuk mendapatkan lagu daripada Hang Nadim.
“Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur bila dapat sokongan serta restu daripada mak saya. Jadi, dengan restu mak, usaha saya dan pasukan, alhamdulillah apa yang diimpikan kami berdua selama ini kini menjadi kenyataan.
“Saya sangat bersyukur sebab tak tahu rezeki datang bila. Saya berpegang dengan prinsip bahawa hasil tidak akan mengkhianati usaha,” katanya.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Hang Nadim dan Bunga Cantik, Amir berkata, semuanya bermula daripada pihak pengurusan dan syarikat rakamannya.
“Sebenarnya, saya tidak berhubung secara langsung dengan Hang Nadim untuk minta sebarang lagu dan hanya minta tolong pihak pengurusan dan syarikat rakaman saya untuk bertanyakan kepada Hang Nadim.
“Tapi, jawapan itu saya tidak dapat dalam masa yang singkat mungkin kerana saya masih belum cukup bersedia ketika itu atau ada sebab lain. Walau apapun sebabnya, saya percaya sebab itu akhirnya mendorong kepada hasil yang lebih baik.
“Pengalaman saya bekerja dengan Hang Nadim dan Bunga Cantik memang senang untuk berbincang atau kaitkan pelbagai perkara kerana mereka juga adalah penyanyi. Mereka sangat profesional, bekerja dengan mereka juga seronok. Tak ada pun terjadi perkara tidak sepatutnya dan saya sangat gembira apabila semuanya berjalan lancar.
“Bunga Cantik pula sangat mengambil berat saya punya karakter dalam lagu dan suara. Dia selalu bertanya pendapat saya juga dan beri kebebasan untuk saya buat keputusan. Kebanyakan idea dan pembikinan lagu ini datang daripada mereka dan saya cuba sampaikannya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Sengaja terbitan Nova Music boleh distrim di semua pelantar striming muzik dan video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’. – MalaysiaGazette