Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) mengatakan sesuatu dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) juga mengatakan sesuatu dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri) pada upacara menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Keputusan yang dicapai UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden semalam dilihat akan memberikan kesan secara langsung kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, keputusan tersebut perlu ada keazaman politik atau political will bagi membuka ruang demokrasi dalam parti.

Jelasnya, jika tidak UMNO akan dilihat parti yang tidak demokratik dengan menutup ruang berkenaan semata-mata untuk menjaga kepentingan pemimpin berbanding kepentingan parti.

Justeru katanya, Anwar harus campur tangan dalam menasihati Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kapasiti untuk menjaga imej beliau yang sinonim sebagai pendukung demokrasi dan bukannya untuk sebagai mencampuri urusan parti tersebut.

“Alasan demi alasan digunakan untuk menghindari pemilihan parti selepas PRU tidak masuk akal.

“Bagi saya sedikit sebanyak (usul untuk jawatan presiden dan boleh mencalarkan imej Anwar kerana UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan sekarang, maka apa saja berkaitan dengan komponen gabungan juga akan memberi kesan kepada kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Ini kerana tindakan UMNO ini akan memberi kesan langsung terhadap imej Anwar. Apa saja melibatkan prinsip parti gabungan dalam kerajaan akan memberi impak kepada Perdana Menteri dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), maka semua parti politik kerajaan perlu cermat menguruskan parti masing-masing.

“Parti-parti komponen Kerajaan Persekutuan akan berhadapan PRN di beberapa buah negeri. Jika isu melibatkan UMNO ini tidak ditangani dengan baik, ini akan memberi kesan negatif terhadap keputusan PRN akan datang kepada Pakatan Harapan dan BN itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Petang semalam, Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Ia disahkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil melalui hantaran Facebooknya petang ini.

Keputusan yang dicapai itu tidak memungkinkan minat beberapa calon antaranya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin dan beberapa calon lain yang sedang mengintai peluang untuk bertanding dua jawatan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast