S Sasikala Devi

GOMBAK – Beberapa lokasi di Selangor dikenal pasti akan mengalami kesesakan apabila warga Lembah Klang pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, antara lokasi berkenaan termasuk daerah Ampang Jaya, Gombak, Ulu Selangor, Klang Utara, Kuala Selangor, dan Sabak Bernam.

“Lokasi yang telah dikenal pasti kerap berlaku kesesakan adalah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (Ampang Jaya), Plaza Tol Gombak (Gombak), Jalan Klang-Teluk Intan (Sabak Bernam, Klang Utara, Kuala Selangor).

“Di Ulu Selangor, dari jalan Kuala Lumpur menghala ke Ipoh” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 19/2023 sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Gombak, hari ini.

Terdahulu beliau dan beberapa pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyantuni pengguna jalan raya Tol Gombak menghala Karak.

Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati serta merancang perjalanan semasa musim perayaan.

Sasikala berkata, aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) juga bakal sesak.

“Aliran trafik di Lebuh KLK juga akan sesak kerana sebanyak 171,000 kenderaan akan menggunakan laluan tersebut pada Jumaat.

“Ia adalah jangkaan purata harian trafik puncak berbanding purata harian sebanyak 100,000 kenderaan setiap hari,” katanya.

Bercakap mengenai Op Selamat, Sasikala berkata, seramai 828 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang tempoh operasi tersebut.

“Saman akan dikeluarkan bagi mereka yang melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

Menyentuh mengenai kadar kemalangan, Sasikala Devi berkata, kemalangan di negeri ini merekodkan penurunan dengan 2,810 kemalangan direkodkan semasa Ops Selamat Tahun Baru Cina pada 2022.

“Dalam tempoh sama pada 2020, sebanyak 4,184 kemalangan telah direkodkan, Manakala sebanyak 21 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh perayaan yang sama tahun lalu, berbanding 22 kemalangan maut direkodkan pada 2020,” katanya. – MalaysiaGazette