Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa (kiri) melawat ruang pameran pada Majlis Prapelancaran Restu Global Quranic Arts Festival di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan menjemput 170 organisasi terdiri daripada jabatan kerajaan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2023 esok.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, setiap daripada organisasi tersebut akan diberi masa tiga hingga lima minit bagi menyampaikan pandangan dan cadangan mereka berkait Bajet 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari depan.

“Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendengar pandangan setiap organisasi terbabit yang diberi masa tiga hingga lima minit.

“KSU (Ketua Setiausaha) semua kementerian juga dijemput, ia adalah satu usaha untuk mendengar pandangan dan pendapat daripada jabatan kerajaan.

“Begitu juga pihak swasta, pengusaha, peniaga, NGO untuk memberikan pandangan apakah sepatutnya dimasukkan dalam bajet yang akan dibentangkan pada 24 Februari depan,” katanya dalam pra pelancaran Restu Global Quranic Arts Festival di Kompleks Nasyrul Quran hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, Anwar yang juga Perdana Menteri akan memaklumkan mengenai hasil pemukiman yang dibuat Kabinet semalam.

“Esok akan dinyatakan, Menteri Kewangan akan berucap, media juga dijemput untuk mendengar ketika sesi ucaptama nanti,” katanya lagi.

Ahmad diminta mengulas mengenai program pemukiman yang antara lain bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan kalangan anggota Kabinet.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan berkata, program itu dihadiri Anwar bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Restu Global Quranic Arts Festival akan bermula 20 hingga 29 Januari ini di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14.

Festival bertemakan ‘Jati Diri Personaliti Quran’ bertujuan memperkenalkan peranan Yayasan Restu dan Kompleks Nasyrul Quran sebagai tempat kegiatan seni Islam, gedung ilmu, pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia dan destinasi pelancongan utama di Malaysia.

“Tempat ini adalah yang cukup bagus sebagai pusat pelancongan antarabangsa  di Putrajaya. Saya kira kalau kita datang ke Putrajaya, tidak datang ke tempat ini, tidak akan lengkap lawatan kita ke sini.

“Putrajaya bukan hanya ada dua masjid dan bangunan pelbagai seni bina tapi di sini ada juga Kompleks Nasyrul Quran yang perlu disebar luaskan kepada umum supaya ia bertambah kunjungan dan boleh pelajari apa yang ada di sini.

“Festival ini adalah platform terbaik membolehkan pengunjung menyaksikan pameran khas, berinteraksi dengan al-Quran, kesenian Islam dan pengusaha produk,” katanya.

Program selama 10 hari ini antara lain turut diadakan pameran buku terbesar dunia iaitu Ensiklopedia Sirah Nabi Muhammad : Inilah Muhammad selain pameran artifak warisan Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast