Prof. Dr. Chong Khim Phin

KUALA LUMPUR – Profesor dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Chong Khim Phin dilantik sebagai Pengarah Confucius Institute (CI) UMS yang baru.

Khim Phin sebelum ini menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Strategik Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS merupakan pemegang ijazah Doktor Falsafah Sains Tumbuhan.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Penyelidik Terbaik Malaysia pada tahun 2020.

Beliau menerima jawatan tersebut secara rasmi dalam satu majlis penyerahan nota serah tugas daripada mantan Pengarah CI@UMS, Prof. Dr. Low Kok On.

“Saya berikrar akan mempertingkatkan lagi pertukaran budaya antara China dan komuniti Sabah melalui CI@UMS dan kerjasama pendidikan antara China dan komuniti.

“CI@UMS juga akan terus menyediakan platform kepada masyarakat seluruh dunia untuk mempelajari bahasa dan budaya Cina, selain berperanan sebagai perhubungan budaya Yayasan Pendidikan China Antarabangsa (CIEF) yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama pendidikan antara China dan dunia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor atas kepercayaan kepada beliau untuk menggalas tanggung jawab tersebut.

CI@UMS ditubuhkan pada 12 Disember 2019 merupakan Institut Confucius yang pertama di Kepulauan Borneo.

Institut itu telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai agensi di China termasuklah CIEF, Universiti Teknologi Changsha dan China Communications Construction Company Limited. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast