Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari 2023 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan memberi kelainan dalam usaha mendengar pendapat pegawai tertinggi kerajaan serta bekas pegawai kerajaan yang sudah bersara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkongsi program diadakan semalam berkata, sebahagian besar sesi pemukiman itu membabitkan pendengaran cadangan dan pandangan daripada pegawai berkenaan termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

“Semalam kita ada pemukiman menteri sepanjang hari tetapi ada kelainannya. Bukan sahaja menteri yang berikan pandangan tetapi kita undang KSN, mantan KPPA dan beberapa ketua jabatan.

“Terlebih awal pada bulan lalu apabila saya tekankan ada keperluan keserasian antara kepimpinan eksekutif negara dan penjawat awam supaya betul-betul erat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari 2023 di Dataran Perdana Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Mohd Zuki.

Anwar menambah, Jemaah Menteri akan mendengar pandangan dan cadangan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Semalam, Program Pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bertujuan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan menteri Kabinet.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, program bermula pukul 10 pagi tadi itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan di Kompleks Seri Perdana.

Menurutnya, program dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan Anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

JPM berkata, antara aspek yang dibincangkan dalam pemukiman itu termasuk Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan. – MalaysiaGazette