KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan sumbangan kepada Perwakilan UMNO yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sewaktu pulang dari Perhimpunan Agung UMNO 2022 Sabtu lalu.
Setiausaha Politik TPM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mewakili Ahmad Zahid melawat dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa hari ini.
Menurut beliau, sembilan perwakilan dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
“Sebelum menziarahi salah seorang mangsa yang tercedera dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan saya terlebih dahulu ke rumah mangsa yang kini berada di rumah di Kemaman setelah dibenarkan keluar dari hospital.
“Alhamdullilah tiada kecederaan serius namun mangsa masih lagi trauma.
“Walaupun masih belum sembuh sepenuhnya, saya mendengar cerita daripada mangsa bagaimana kemalangan itu boleh berlaku,” katanya.
Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO mendokan semua yang cedera akan kembali sembuh.
Mereka dijuga diharapkan dapat menjalani rutin seperti biasa dan terus berkhidmat bersama parti.
“Sedikit sumbangan telah disalurkan bagi membantu keluarga yang terkesan dan diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Said turut menyerati lawatan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan sembilan perwakilan Wanita dan Puteri UMNO mengalami kecederaan selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur.
Kejadian berlaku jam 5.50 petang ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kemaman, Terengganu selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mangsa berusia antara 21 tahun hingga 68 tahun.
Siasatan awal mendapati, van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 37 tahun membawa sembilan penumpang wanita dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman.
Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta berada di hadapan brek mengejut menyebabkan van terbabit hilang kawalan sebelum terbabas. – MalaysiaGazette