Syaiful Rizal (dua dari kanan) menyempurnakan pelancaran SIR Corner di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM yang turut disaksikan Prof Dr. Haim Hilman (dua dari kiri), Prof. Dr. Ahmad Martadha (kiri) dan Ketua Pustakawan UUM, Salleh Hudin (kanan).

SINTOK – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan kira-kira RM100,000 dalam bentuk Bantuan Awal Pengajian kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai permulaan pengajian bagi tahun 2023.

Inisiatif itu melibatkan 100 penuntut dari kalangan keluarga B40, kata Pengurus Besarnya, Syaifu Rizal Abdul Ghani.

Kata beliau, selain Bantuan Awal Pengajian, YBR juga turut menyumbangkan set kelengkapan Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) untuk perpustakaan universiti itu.

“SIR Corner ini dapat memberikan manfaat kepada penuntut UUM dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital,” katanya yang merasmikan SIR Corner di UUM di sini, hari ini.

Manakala penyerahan cek Bantuan Awal Pengajian disaksikan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Syaiful Rizal, bantuan itu adalah untuk meringankan beban kewangan penuntut yang masuk semester baru.

Katanya, pemilihan penuntut dari kalangan keluarga B40 dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM dan setiap mereka akan menerima RM1,000.

“Semua penuntut yang menerima bantuan ini adalah di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

“Inisiatif ini bagi memastikan penuntut dari keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat di luar bandar, pedalaman dan juga miskin bandar diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Selain itu, bantuan ini juga dapat meringankan tanggungan ibu bapa,” katanya.

Jelas Syaiful Rizal lagi, bagi tahun 2022 seramai 2,916 penuntut IPT telah menerima Bantuan Awal Pengajian YBR dengan peruntukan sebanyak RM2.27 juta melibatkan 19 IPT di Malaysia serta melalui permohonan 11 badan bukan berkeuntungan bagi inisiatif itu.

YBR juga memperuntukkan RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pihak pembekal.

Usaha itu, kata beliau, bagi menggalakkan tabiat membaca kepada penuntut dan masyarakat tanpa sempadan masa serta lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast