MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang telah menahan seorang kakitangan sebuah sekolah di sebuah daerah di sini bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kuasa mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan lapan tahun lalu.

Turut ditahan bekas pengetua daripada sekolah yang sama.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 41 dan 60 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang antara 11 hingga 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada tahun 2015 hingga tahun lalu, kakitangan tersebut disyaki menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah tersebut kepada syarikat miliknya sendiri.

Dalam masa sama, bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja tersebut kepada syarikat terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk  Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.-MalaysiaGazette