KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak melalui detik cemas apabila terjatuh di atas jalan raya selepas motosikal yang ditunggang seorang individu disyaki bapa kandungnya bergesel dengan sebuah kereta berhampiran Endah Parade, Sri Petaling di sini hari ini.
Kejadian itu dirakam menerusi papan pemuka sebuah kereta pengguna jalan raya kemudiannya tular di media sosial.
Semasa kejadian, kanak-kanak perempuan itu duduk di bahagian tempat duduk hadapan motosikal.
Semasa motosikal yang berada di lorong kiri beralih ke kanan, penunggang tersebut telah bergesel dengan sebuah kereta menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh.
Akibat tergesel, bapanya gagal mengawal motosikalnya lalu terpelanting berhampiran konkrit yang diletakkan di laluan simpang pusingan U itu.
Kanak-kanak itu telah cuba bangun semula sebelum diselamatkan pengguna lain yang bergegas sejurus melihat insiden itu.
Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang mengesan kenderaan yang terlibat dalam insiden tersebut.
JSPT KL meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk membantu siasatan lanjut.
“Kedua-dua pihak terlibat insiden itu iaitu penunggang motosikal dan pemandu kenderaan itu masih belum membuat laporan polis.
“JSPT KL meminta kerjasama media dan awam untuk menghebahkan video itu bagi mengesan kenderaan tersebut agar pihak berkenaan tampil memberi kerjasama bantu siasatan polis trafik di Jalan Bandar,” kata jabatan itu. -MalaysiaGazette