KUALA LUMPUR – Slogan baharu, Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu konsep yang memberikan penekanan terhadap aspek kemajuan dan peradaban manusia.
Penganalisis dan pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, beliau melihat ia adalah satu konsep yang sangat holistik dan komprehensif dan patut diperkenalkan oleh kepimpinan kerajaan.
Malah katanya, konsep itu merupakan satu proses yang sangat lama diperjuangkan oleh Anwar dan ia bukanlah suatu perkara asing bagi sesetengah pihak yang mengikuti perkembangan Perdana Menteri.
“Saya melihat konsep ini memberi penekanan kepada aspek kemajuan negara dan perdaban dan saya nampak konsepnya itu macam ada keseimbangan.
“…sebab kadang-kadang kita ini dah jadi negara maju tetapi dari segi peradabannya macam mana, tamadunnya macam mana.
“Saya melihat ini sebagai satu konsep yang seimbang sebab beliau melihat semua aspek secara holistik. Dalam konteks pembangunanlah bukan sahaja material, ekonomi dan pemikiran dari sudut peradaban masyarakat itu sendiri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette bagi mengulas pengenalan slogan baharu yang dilancarkan Perdana Menteri semalam.
Dalam satu majlis amanat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Perdana Menteri melancarkan slogan baharu itu bagi menggantikan slogan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Slogan baharu Malaysia Madani merupakan usaha membina martabat negara semula yang makmur dan dikenali pada masa depan.
Istilah Madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.
Konsep itu dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW dan didukung oleh warganya yang berbilang kaum dan agama masyarakat dalam mengacu pada dasar-dasar manfaat buat warganya yang disebut al-khayr.
Sementara itu, ditanya sama ada setiap slogan yang diperkenalkan oleh bekas-bekas perdana menteri terdahulu mencapai matlamatnya, Mohd Izani berkata, slogan sememangnya satu perkara yang penting bagi pemimpin kerana itu akan menunjukkan identiti kepimpinan masing-masing.
Bagaimanapun, yang penting adalah bagaimana cara untuk melaksanakan ataupun memastikan semangat slogan-slogan itu bukan sekadar retorik tetapi boleh dilaksanakan dalam bentuk tindakan dan dasar-dasar serta polisi, katanya.
Tambah beliau, setiap slogan juga memerlukan tempoh masa yang panjang untuk dilihat keberkesanannya.
“Dulu kita ada Wawasan 2020 yang orang kata satu wasasan yang ambik masa panjang untuk diperkenalkan sejak 1992.
“Tetapi, Wawasan 2020 itu tidak tercapai sepenuhnya, tu dalam tempoh yang panjang tu. Ia tak boleh hanya sekadar satu sebutan. Kalau nak pastikan slogan itu dapat berjalan dengan baik ia mesti mendasari sistem pemerintahan dan dasar polisi,” jelasnya.
Katanya lagi, slogan berkenaan juga perlu diwacanakan oleh semua peringkat dan ia tidak boleh hanya dibincangkan oleh pihak-pihak dalam kerajaan sahaja.
Ujar beliau, konsep itu perlu diperjelaskan dengan sebaik mungkin agar semua peringkat termasuk yang berada dibawah memahami isi kandungannya selain ia wajar menjadi wacana dan diskusi yang masak.
“Justeru, saya harap semua pihak dapat menyambut baik dasar baharu ini sebab, sekarang ni kita punya masalah adalah bukan soal kemajuan sangat tetapi lebih kepada peradaban.
“Sekarang ini banyak masalah dengan nilai-nilai (jatidiri) semakin terhakis. Jadi, kita mesti memberikan fokus macam mana kita nak membangunkan peradaban,” katanya. – MalaysiaGazette