Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Padah menyerahkan kod laluan perbankan secara dalam talian kononnya terpilih mendapat ‘Bantuan Prihatin’, seorang suri rumah kerugian hampir RM100,000 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, penipuan sindiket itu bermula apabila mangsa berusia 42 tahun itu menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada 25 Disember lalu memperkenalkan diri dari ibu pejabat sebuah syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, dalam perbualan itu, suspek yang menggunakan nombor +601114245294 memberitahu mangsa kononnya dia dipilih menerima ‘Bantuan Prihatin’ sebelum mengarahkannya mengisi maklumat peribadi menerusi pautan diberikan.

“Mangsa yang teruja dan tidak mengesyaki apa-apa kemudian menekan link laman web terbabit dan mengisi semua butiran dikehendaki termasuk maklumat perbankan di satu laman web.

“Pengadu mengisi maklumat ID pengguna, kata laluan perbankan dalam talian, tarikh luput kad ATM serta nombor CVC kod di belakang kad ATM miliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya sebaik selesai perbualan, pengadu cuba membuat semakan dan terkejut apabila mendapati wang simpanan di dalam akaun banknya sudah dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali berjumlah RM98,670 menerusi lapan transaksi.

“Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette.