ALOR GAJAH – Empat sekeluarga nyaris maut apabila kereta yang dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Melaka Pindah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 52 dan 51 tahun serta anak lelaki mereka berusia 14 tahun cedera ringan.
Seorang lagi mangsa yang juga anak saudara lelaki pasangan terbabit yang berusia 23 tahun juga cedera ringan.
Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan II, Nazri Mat Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah bersama 10 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi 12 minit kemudian, didapati benar berlaku kemalangan membabitkan Proton Persona terbabas di bahu jalan yang difahamkan ketika itu dalam perjalanan dari Machap Umboo menghala ke Alor Gajah.
“Semua mangsa bagaimanapun hanya cedera ringan dan berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah menaiki ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 11.23 pagi sebelum tugasan selanjutnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). – MalaysiaGazette.