Rama-rama Clipper yang telah telah pupus di Singapura berjaya dibiakkan dengan skala besar di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka menerusi hasil kajian selama 16 tahun terhadap spesis itu.

MELAKA – Kira-kira 50 peratus spesies rama-rama di Asia Tenggara termasuk dari Malaysia antaranya Rajah Brooke’s Birdwing dijangka pupus 77 tahun lagi, menjelang 2100.

Pengarah Teknikal Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, Rama-Rama Kebangsaan atau saintifiknya Trogonoptera Brookiana itu adalah antara rama-rama yang dikategorikan hampir pupus.

Menurutnya, fakta itu adalah hasil kajian makmal pihaknya yang pada masa sama giat membiakkan lebih 30 spesies rama-rama yang dilindungi kerana diancam kepupusan.

“Kajian mendapati, dalam masa kira-kira 77 tahun lagi menjelang 2100, lebih 50 peratus spesis rama-rama di Asia Tenggara termasuk Malaysia akan pupus.

“Atas faktor itu, kami kini giat menjalankan pembiakan spesies rama-rama yang hampir pupus seperti Rama-Rama Kebangsaan atau Rajah Brooke’s Birdwing,” katanya.

Gerard Wong

Menurutnya, terdapat banyak faktor yang mendorong ke arah kepupusan termasuk ancaman kehilangan habitat dan tumbuhan perumahnya akibat daripada penerokaan hutan dan pembalakan.

“Sebenarnya, sukar untuk kita buat kajian apabila masih ada beberapa spesies rama-rama di taman ini yang kita masih belum temui tumbuhan perumahnya menjadikan kebanyakan rama-rama yang hampir pupus ini bakal lenyap seiring dengan kepupusan pokok perumahnya.

“Sebab itulah, di pusat konservasi rama-rama ini, kita giat menanam pokok-pokok atau tanaman perumah di tanah seluas hampir empat hektar di belakang taman ini,” katanya.

Gerard berkata, sebagai contoh rama-rama spesies ‘Clipper’ yang telah pupus di Singapura berjaya dibiakkan dalam skala besar dan hasil kajian selama 16 tahun dijalankan.

Tambahnya, antara punca kepupusan spesies itu adalah berkemungkinan dari eksploitasi secara tidak terkawal untuk dijual sebagai hadiah atau cenderahati. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast