KUALA LUMPUR – Hospital Selayang menangguhkan sistem pelaksanaan caj bayaran parkir di kawasannya sehingga tarikh baharu dimaklumkan kelak.
Menerusi kenyataan media sosialnya, terdapat beberapa perubahan akan dilakukan bagi melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.
“Antaranya perubahan lokasi seperti palang di Lokasi A akan diubah ke Lokasi B (bersebalahan kafe) manakala perubahan aliran trafik di laluan utama akan diubah dan terbahagi seperti dalam lampiran,” katanya.
Susulan situasi itu, Hospital Selayang memohon maaf atas kesulitan dihadapi dan sebarang perubahan berhubung perkara itu akan dimaklumkan.
Sebelum itu, pada 28 Disember lalu, Hospital Selayang memaklumkan akan mengenakan caj parkir kenderaan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
Pelaksanaan caj parkir kenderaan itu menggunakan sistem parkir mekanikal, tanpa tunai dan auto pay.
Namun pemasangan palang di pintu masuk hospital itu telah menyebabkan kesesakan dan menimbulkan keluhan orang awam kerana sistem tersebut tidak praktikal.
Ia berikutan isu parkir terhad selain palang tersebut sepatutnya dipasang di kawasan parkir dan bukan di pintu masuk hospital. – MalaysiaGazette