ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis setakat ini tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan di hadapan Kedutaan Sweden di sini bagi membantah insiden pembakaran al-Quran pada Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sebarang bentuk perhimpunan yang ingin diadakan di tempat awam perlu menghantar notis pemakluman seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Sekurang-kurangnya notis berkenaan perlu dihantar lima hari sebelum tarikh untuk perhimpunan diadakan dan setakat ini (Rabu), tiada sebarang notis pemakluman diterima daripada mana-mana pihak.

“Memandangkan beberapa hari lagi perhimpunan itu akan diadakan, jadi saya nasihat agar orang ramai menghormati dan mematuhi undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beliau menambah, sebarang perhimpunan tanpa kebenaran tidak dibenarkan dan mana-mana pihak yang dikesan berhimpun Jumaat ini akan berdepan tindakan tegas undang-undang.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar jangan menyertai perhimpunan itu kerana tidak ada kebenaran untuk berkumpul, dan mereka yang didapati melanggar arahan nanti akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” ujarnya.

Terdahulu, satu poster penganjuran penyerahan memorandum di kedutaaan Sweden Jumaat ini dikesan tular susulan kejadian membakar al-Quran di Stockholm, Sweden baru-baru ini.

Penganjuran itu dipercayai dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyeru orang ramai bersama-sama berhimpun dan berarak ke Kedutaan Sweden dari Masjid As-Syakirin KLCC selepas solat Jumaat.

Pada Ahad lalu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line. Rasmus Paludan membakar al-Quran dengan pemetik api semasa protes Islamofobia di hadapan kedutaan (Turkiye) di Stockholm. – MalaysiaGazette