Rafizi ekonomi
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa beliau hanya ‘menjemput’ Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memberikan penjelasan berhubung kelulusan projek tebatan banjir dibuat selepas pembubaran Parlimen.

Dakwa Rafizi dalam penyataan pembelaan saman fitnah oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), dirinya tidak pernah sesekali melakukan fitnah mahu pun membuat kenyataan dengan niat jahat.

Kata Timbalan Presiden PKR itu, kenyataannya pada dua sidang media Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada 7 dan 9 November tahun lepas tidak dilakukan dengan niat jahat.

Sebaliknya hanya membangkitkan isu itu untuk tujuan perhatian umum serta wacana awam yang sihat.

“Niat sebenar defendan membuat kenyataan media adalah untuk menjemput dan atau menggalakkan plaintif memberi penjelasan berhubung kenyataan media danatau membawa kepada perhatian umum isu ketelusan oleh pihak berkuasa dalam pemberian kontrak bagi projek dan/atau meningkatkan kesedaran awam berhubung pengurusan perolehan kerajaan dalam tempoh sementara (selepas pembubaran parlimen dan sebelum PRU ke-15) danatau isu perbelanjaan dana awam yang menjadi isu bekepentingan awam.

“Usaha defendan tidak mempunyai niat jahat. Ia selaras dengan hak defendan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan sebagai ahli politik, warganegara dan pembayar cukai, dan ia juga dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam dokumen pembelaan Rafizi.

Pembelaan itu telah difailkan Rafizi pada 28 Disember lepas.

Dakwa Rafizi dalam pembelaan, dirinya memperoleh maklumat berhubung komunikasi dan proses dalam pemberian projek tertentu di bawah KASA dan ketika itu Tuan Ibrahim adalah menteri kementerian tersebut.

Dalam pada itu, Rafizi turut mendakwa pihak yang mendapat faedah melalui kenyataannya adalah rakyat serta pembayar cukai di negara ini.

“Adalah salah bagi Tuan Ibrahim melihat semua itu dari sudut yang sempit seolah-olah membabitkan isu peribadi di antara defendan dan plaintif dan Pas,” dakwanya.

Namun ketika menjawab pembelaan Rafizi itu, Tuan Ibrahim berkata, Ahli Parlimen Pandan itu sebenarnya telah membuat dakwaan palsu atas kapasiti sebagai ahli politik serta calon yang berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Sebelum ini Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang PRU15.

Sehubungan itu, beliau menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

Tuan Ibrahim sebelum ini menjelaskan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Mahkamah Tinggi menetapkan pada 31 Mac depan bagi pengurusan kes.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast