Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu menunjukkan bukti kukuh bahawa gabungan politik itu tidak terlibat memberi rasuah kepada pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, beliau tidak sepatutnya membiarkan rakyat tertunggu-tunggu atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersusah-payah mencari bukti.

“Dalam undang-undang jenayah, jika seseorang yang dituduh itu tidak bersalah dan ada alibi, maka dia sepatutnya menyatakan alibinya untuk membuktikan dia tidak bersalah supaya pendakwa boleh mengecualikannya dari dituduh.

“Jika orang yang dituduh itu kata dia ada alibi namun tidak berupaya menunjukkan alibinya, maka kemungkinan besarnya dia berbohong,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin melalui rakaman video semalam yang mempertahankan tindakan PN memberi wang kepada pengundi sebagai ‘sedekah’.

Raja Petra turut meminta Isham selaku penuduh membuktikan perbuatan itu benar-benar berlaku dan bukannya Hamzah yang mendakwa mempunyai bukti kukuh PN tidak memberi rasuah kepada pengundi.

Tuduhan tersebut timbul setelah rakaman video yang didakwa menunjukkan seorang individu meminta pengundi bersumpah telah mengundi parti politik tertentu pada PRU-15 sebelum memberi sejumlah wang tular dalam media sosial.

Walau bagaimanapun, Isham menambah, sehingga kini, Hamzah tidak mengemukakan bukti yang dimilikinya sekali gus mencetuskan keraguan terhadap dakwaannya itu.

Beliau turut berharap Raja Petra tidak seperti seolah-olah terdesak menyerangnya semata-mata kerana ingin mempertahankan PN dalam isu tersebut.

“Rasuah tetap rasuah, ia bukan sedekah. Usah tegak benang yang basah,” jelasnya.

Isham juga mencadangkan agar Raja Petra supaya mendalami sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum menyerang dengan maklumat yang tidak lengkap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast