KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) mengutuk tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm baru-baru ini.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, bukan sahaja dalam negara sebaliknya dunia perlu mengutuk perbuatan yang mengundang kebencian perkauman menggunakan nama agama.
Kata Hishamuddin, walau apapun alasan, tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark tersebut amat memalukan dan merupakan amalan ekstremis yang cuba menghasut dan membuat provokasi serius terhadap perasaan lebih dua bilion umat Islam di dunia.
“Ini percubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan. Kita perlu kutuk, keji perbuatan ekstremis ini yang cuba sebar kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamophobia.
“Perbuatan ini bakal menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia.
“MHO menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam yang ada serta NGO-NGO di Malaysia untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti dan kesatuan umat Islam mempertahankan maruah umat Islam untuk terus menekan Sweden agar mengambil tindakan terhadap si pelaku,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Hishamuddin, MHO juga akan bekerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta NGO lain bagi memberi tekanan keras melalui pihak kedutaan Sweden supaya individu dari parti berhaluan kanan tersebut diambil tindakan tegas.
“Individu tersebut seolah-olah dilindungi oleh kerajaan Sweden kerana tiada tindakan diambil dan semasa beliau membakar Al-Quran tersebut beliau serta pengikutnya dilaporkan dikelilingi anggota keselamatan, ini seolah-olah kerajaan Sweden secara tidak langsung seperti memberi kebenaran dan merelakan tindakan itu,” tegasnya.
Seorang pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan didakwa menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – MalaysiaGazette