Hannah Yeoh, berucap ketika menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang II, Penggal 33, Sesi 2021 – 2022 di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Kuala Lumpur, Cheras. foto KBS Malaysia

KUALA LUMPUR – Kepimpinan pertubuhan belia di negara ini telah diberikan tanggungjawab untuk merangka strategi bagi menarik lebih ramai belia untuk berpersatuan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pada masa ini hanya 8.0 peratus daripada jumlah populasi belia di negara ini yang aktif berpersatuan dan menyertai pertubuhan belia.

Jelas beliau, perkembangan ini adalah tidak sihat.

“Saya mencadangkan semua pemimpin pertubuhan belia yang berpengalaman menggerakkan belia-belia di peringkat akar umbi agar setiap pertubuhan belia menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekurang-kurangnya penambahan keahlian belia sebanyak lima peratus setahun.

“Dalam masa yang sama, sudah tiba masanya juga pertubuhan belia ini bersifat lebih inklusif dengan mensasarkan penyertaan golongan belia agar terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Kepelbagaian ini dapat meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan belia seterusnya memperkasakan semangat perpaduan sekaligus mengangkat hasrat Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan elemen inklusiviti dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan,” kata beliau dalam ucapannya di Pusat Belia Antarabangsa hari ini.

Terdahulu beliau hadir mempengerusikan dan merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sesi 2021-22.

Dalam sidang medianya, Hannah menambah, kerajaan perlu mempunyai satu program yang inklusif dan bersasar untuk menarik minat golongan belia.

Katanya, setiap program yang disusun dan dilaksanakan oleh KBS perlu sentiasa bergerak seiring dengan Majlis Belia Malaysia supaya ia boleh mengembalikan keberhasilannya.

“Saya tidak mahu KBS dan MBM membuat perkara secara berasingan dalam menarik minat dan penyertaan golongan belia berpersatuan sebaliknya kami mahukan satu kesinambungan dan saling berhubung dalam setiap program yang dianjurkan untuk golongan belia.

“Saya optimis dengan penetapan KPI menarik penyertaan ramai belia dan ia juga terpulang kepada cara kita membuat sesuatu program.

“Kita perlu memastikan  setiap program yang dianjurkan mestilah menarik perhatian belia dan minat belia perlu menjadi sasaran utama kita,” katanya.

Dalam pada itu, KBS melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) membangunkan hab data belia bagi tujuan pengumpulan data secara berpusat berkaitan pembangunan belia di Malaysia.

Hannah berkata, inisiatif itu diambil selaras dengan hasrat kerajaan dalam memastikan segala perancangan yang responsif terhadap keperluan semasa,perancangan perlu berpandukan kepada data serta maklumat tepat dan terkini.

Katanya, dengan cara tersebut, pemahaman dan perancangan berpandukan data sangat penting supaya perancangan dan pelaksanaan aktiviti yang dibuat lebih tepat dan bukan berdasarkan kepada persepsi atau andaian.

“Inisiatif ini sejajar dengan bidang tanggungjawab yang telah digariskan oleh Dasar Belia Malaysia (DBM) yang mana IYRES bertindak sebagai focal point kepada penyelidikan dan statistik berkaitan belia di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, Hab Data Belia merupakan satu platform yang menggabungkan proses pengumpulan, penganalisaan, analitikal, visualisasi serta pemantauan berkaitan data, aktiviti dan program pembangunan belia di Malaysia.

Katanya, kesemua data hab ini diwujudkan sebagai platform penyaluran data kepada pemegang taruh belia bagi meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan dan pelaksanaan aktiviti berdasarkan data-data belia yang sah dan lebih bersistematik.

“Semua pihak khasnya pemimpin pertubuhan belia dan penggerak aktiviti belia perlu memanfaatkan data-data IYRES ini sebagai asas dalam membuat perancangan terbaik untuk belia serta negara. – MalaysiaGazette