Mohd Shukri Ramli

KUALA LUMPUR – Harga bahan mentah terutama telur di Perlis masih tinggi, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Menurutnya, hasil tinjauan di kawasan yang majoriti menempatkan penduduk B40 mendapati telur dan bahan mentah yang menjadi keutamaan mereka belum turun harga.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, keadaan itu jauh berbeza berbanding kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa sebaliknya.

“Harga barang di pasaran negeri ini belum turun dan rakyat juga belum dapat merasai keadaan itu seperti yang dijanjikan. Rafizi perlu berusaha lebih keras bagi memastikan kenyataan beliau sebelum ini menjadi realiti.

“Beliau perlu berusaha lagi bagi memastikan harga barangan turun dan kita pun faham, keadaan ekonomi dunia sekarang,” katanya di Perlis.

Pada bulan lalu, Rafizi menyatakan pemimpin PN yang mempertikai kenyataannya berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ selepas formula penurunan harga yang beliau sarankan difahami seluruh rakyat dengan rasional.

Kata Ahli Parlimen Pandan itu, usaha untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan diperlukan sebagai satu mekanisme kawalan harga.

“Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini. Jangan takut dengan pandangan umum. Insya-Allah rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.

“Dalam sebulan lagi, geng-geng PN yang pertikai semua akan terduduk. Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversial tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” kata Rafizi dalam Twitter. – MalaysiaGazette