luar biasa
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin bukan sesuatu yang mengejutkan atau luar biasa.

Malah dianggap setimpal dengan perbuatan mereka memfitnah dan mensabotaj parti, kata Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Apa yang luar biasa adalah tindakan Khairy menghentam parti dan presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu didakwa menjadikan parti sebagai ‘kambing hitam’ kononnya untuk meraih undi.

“Tidak pasti kenapa KJ dipecat. Tetapi KJ melampau. Memburukkan parti dan presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan.

“Fitnah pengundi hantu semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 ada niat jahat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid malam tadi turut memutuskan tindakan penggantungan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya diberikan surat tunjuk sebab.

Mohd. Puad turut mendakwa Noh yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang keliru apabila menuduh Ahmad Zahid membuat keputusan sendiri dalam usaha ‘pembersihan’ parti secara menyeluruh.

Beliau memberitahu, situasi malam tadi adalah berbeza dengan apa yang berlaku semasa bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui MKT tanpa melalui Lembaga Disiplin.

“Noh bukan dipecat kerana isu usul tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua. Dia dituduh sabotaj parti semasa PRU-15. Ada 16 laporan sabotaj terhadap Noh,” jelasnya.

Mohd. Puad menambah, tindakan Hishamuddin adalah lebih luar biasa kerana beliau tidak serik membelakangkan parti.

Beliau menuduh Hishammuddin bertanggungjawab membawa ahli-ahli Parlimen UMNO ke rumah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Suruh ketua bahagian Sabah masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Penggerak utama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tandatangan akuan bersumpah (SD) sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Hishammuddin,” dakwanya.

Mohd. Puad menyangkal dakwaan keputusan MKT itu akan menyebabkan parti berpecah sambil menyifatkannya sebagai naratif yang akan dieksploitasi oleh sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati.

Beliau berkata, hakikatnya UMNO sudah lama dipecah-belahkan oleh mereka yang suka melawan keputusan parti.

Mohd. Puad turut mempersoalkan pihak yang mendakwa tindakan pembersihan yang dilakukan itu akan menyebabkan golongan muda lari dari UMNO.

“Kita tanya balik, berapa ramai anak muda yang mereka bawa masuk untuk sokong perjuangan UMNO?” soalnya.

Menurut beliau, Ahmad Zahid tidak membuat keputusan secara bersendirian kerana ia dilakukan atas syor Lembaga Disiplin UMNO.

“Cuma kali ini presiden yang bawa syor tersebut pada MKT,” jelasnya.

Mohd. Puad percaya tindakan itu tidak mengejutkan dan bukan luar biasa kerana UMNO perlu berani sebagaimana mereka yang dipecat itu berani memfitnah parti.

“Bersatu juga memecat Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz. PKR pula memecat Azmin, Tian Chua dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Tiada yang luar biasa,” katanya.

Beliau mengingatkan kembali bahawa beberapa pemimpin menjauhkan diri dari UMNO setelah parti itu hilang kuasa selepas PRU-14 kerana takut terpalit dengan kluster mahkamah dan takut didakwa kerana telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka duduk di luar pagar. Ada kalanya tikam parti dari belakang. Kini mereka dipecat atau digantung. Apa salahnya mereka sekali lagi duduk di luar pagar,” jelasnya.

Mohd. Puad berkata, walaupun keputusan pemecatan itu amat menyakitkan, mereka yang dikenakan tindakan itu boleh merayu sekiranya benar-benar cintakan parti.

“Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.