KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali menyifatkan pemecatan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar malam tadi sama dengan nasib yang berlaku kepadanya pada 2003.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang dipengerusikan presiden ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi tanpa sebarang sebab dan alasan munasabah.
Katanya, selepas dipecat, beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2004 atas tiket bebas sebagai tanda protes akibat digugurkan sebagai ahli UMNO.
“Tentu KJ sebagai ‘Budak Tingkat Empat’ masih ingat tindakan bapa mertuanya kepada saya dan lima yang lain. Saya berkelana dan dituduh katak serta macam-macam penghinaan.
“Malam tadi tiba giliran KJ dipecat dan dia hanya jawab ringkas, unbowed, unbent, unbroken (tak tunduk, tak bengkok, tak putus).
“Sekarang apa yang berlaku kepada KJ ibarat kata dulang paku serpih. Bersabarlah,” katanya mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang memecat 42 ahli parti dari beberapa negeri.
Selain Khairy Jamaluddin, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut dipecat.
Lima lagi termasuk Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya pula digantung selama enam tahun.
Dua lagi yang turut digantung ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Salim Shariff.
Ibrahim dalam masa yang sama menasihatkan semua ahli UMNO yang dipecat dan digantung agar bersabar.
“Ada hikmah tu. Yang pasti UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan hancur serta bungkus di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya sinis. – MalaysiaGazette
betul lah dunia ini bulat macam roda. berpusing ikut giliran . kalau dulu ayah yang buat sekarang anak yang kena nanti ulang balik sampai cucu cicit pusingan tetap berlaku . kita je tak sedar sebab masa berlalu terlalu panjang .