KUALA LUMPUR – ”Ketika dipecat dari UMNO dahulu, saya tidak pernah mendapat pembelaan atau perhatian daripada golongan yang dikenakan tindakan sama oleh parti Jumaat lalu”.
Demikian akui Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat oleh UMNO pada tahun 2008 kerana terlalu liberal dan tidak mengikut prosedur sepatutnya.
“Saya dipecat daripada UMNO beberapa tahun lalu kerana terlalu liberal, tidak ada sebarang sebab, amaran dan tiada asas.
“Namun, mereka yang dipecat dan digantung Jumaat lalu kini merungut, tetapi tidak berbuat apa-apa ketika saya dipecat sebelum ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin kerana melanggar disiplin.
Mereka yang dipecat ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Manakala yang digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Salim Shariff.
Pada 3 Disember 2008, Zaid dipecat berikutan beberapa tindakannya menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu dilaporkan menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam. – MalaysiaGazette