Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tindakan seorang buruh warga Bangladesh menyogok anggota polis dengan wang RM100 untuk melepaskan diri, membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu menyogok wang kepada anggota polis sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memandu kereta tanpa lesen ketika pemeriksaan dilakukan.

Berikutan tindakan itu, anggota polis kemudian menyerahkan lelaki itu ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya pada kira-kira 2 petang semalam dan dia ditahan bagi membantu siasatan.

Lelaki itu direman tiga hari hingga Selasa ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata kes seumpama itu merupakan iktibar kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya memberi rasuah kepada mana-mana pihak penguat kuasa bagi tujuan melepaskan diri daripada kesalahan jenayah. – BERNAMA