KUALA LUMPUR – Penampilan istimewa penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama komposer legenda dari India, AR Rahman menerusi lagu tamil klasik Munbe Vaa semalam berjaya memukau 60,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Penampilan Siti malam tadi untuk menyemarakkan konsert mega, Konsert AR Rahman – Secret Of Success – Live In Malaysia anjuran DMY Creation Sdn Bhd.
Siti menyifatkan pengalaman sepentas dengan AR Rahman merupakan antara impiannya.
“Ini merupakan satu penghormatan buat saya. Berdebar tetapi dalam masa yang sama teruja, gembira, terharu dan bahagia.
”Melangkah tahun ke-27 saya di dalam industri muzik, membuka tirai tahun 2023, saya mulakan lembaran portfolio karier seni saya dengan catatan peribadi untuk impian yang menjadi kenyataan.
“Terima kasih kepada seluruh penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil…yang telah memberikan saya semangat dari mula menyanyi hingga ke akhir lagu Munbe Vaa tadi. Anda semua memang best,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Semalam peminat tempatan AR Rahman tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert mega penyanyi dan komposer legenda dari India itu. .-MalaysiaGazette