Dominic (kanan) Tong Keong (tengah) pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyifatkan isu ‘gelombang hijau’ sengaja dibangkitkan pihak lawan susulan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.

Presidennya, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya tidak akan mempedulikan sebarang isu berhubung gelombang hijau yang dibangkitkan parti lawan.

Sebaliknya, beliau menegaskan, Pakatan Harapan serta Barisan Nasional perlu merisaukan parti masing-masing dalam menghadapi gelombang PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

“Gelombang PN sudah terbukti apabila kita memenangi 74 kerusi Parlimen dan ia adalah satu hakikatnya yang tidak perlu dibincangkan lagi.

“Mereka (parti politik lawan) yang bangkitkan isu ‘gelombang hijau’ bagi kita ia adalah gelombang PN. Jadi, saya rasa tak perlu ikut apa yang mereka bangkitkan.

“Lebih baik kita fokus macam mana nak bela hak rakyat serta mendapat mandat daripada mereka pada PRN nanti,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister di sini malam ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.

Rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parti Gerakan Pulau Pinang dihadiri masyarakat pelbagai kaum di George Town, Pulau Pinang malam ini.

Terdahulu, Gerakan Pulau Pinang mengadakan sambutan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi PN Pulau Pinang menjelang PRN, Dominic berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pimpinan Bersatu dan Pas negeri namun belum ada keputusan rasmi.

“Kita sudah adakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi sejak PRU15 namun ia belum dimuktamatkan susulan situasi politik sering berubah termasuk menunggu tarikh PRN yang sebenar.

“Malah perbincangan dengan Pengerusi PN juga akan dilakukan membabitkan perkara sama sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat,” ujarnya.

Dominic turut mengharapkan PRN di enam negeri bawah pimpinan PH dan Pas diadakan secara serentak bagi menjimatkan kos yang perlu ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast