Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri turut mendapat perhatian Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif C4, Sudhagaran Stanley, tindakan itu berunsur nepotisme dan mempunyai konflik kepentingan walaupun anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak menerima sebarang elaun.

“Tidak terima elaun sebenarnya tidak relevan, Perdana Menteri telah memberikan contoh salah yang akan diikuti oleh yang lain.

“Menteri lain juga boleh lakukan perkara sama iaitu melantik ahli keluarga bagi mengetuai portfolio penting, ini bukanlah satu tadbir urus yang baik. Perlu ada ketelusan dalam pelantikan politik,” katanya dalam kenyataan.

Kata Sudhagaran, kelayakan serta proses permohonan dan pemilihan perlu didedahkan kepada umum supaya setiap individu berkepentingan berpeluang memohon jawatan itu.

“Bagaimana kita boleh pasti Nurul Izzah orang paling berkelayakan untuk jawatan itu? Jemaah menteri sudah mempunyai seorang Menteri Ekonomi, adakah kini pelantikan Nurul Izzah mampu mengakibatkan diyakini tidak akan mengundang konflik?

“Nasihat siapa akan didengar Perdana Menteri? Anaknya atau menteri? Inilah masalahnya,” tegasnya.

Dalam temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini, Nurul Izzah mendedahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Dengan pengalaman sebagai ahli Parlimen,  mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain perkhidmatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), beliau berharap ia akan membantunya menjalankan tugas baharunya. – MalaysiaGazette