Keadaan sesak orang ramai yang terpaksa berebut untuk menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di stesen Hang Tuah bagi pertukaran ke stesen Bandaraya berikutan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandar Raya mengalami gangguan disebabkan penjajaran landasan bengkok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Hang Tuah, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Ampang menyebabkan para pengguna terpaksa bersesak dan berebut sebaik sahaja tiba di stesen Hang Tuah yang menjadi hentian utama pengguna bagi pertukaran ke stesen Bandaraya.

Keadaan itu berlaku pagi tadi susulan gangguan perkhidmatan kereta api akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna yang ditemui sudah menjangkakan kesesakan pengangkutan akan berlaku dan menyukarkan mereka.

Orang awam, Farah Nor Ain Baharom.

Menurut pekerja swasta, Farah Nor Ain Baharom,30, perjalanannya daripada LRT Sungai Besi ke tempat kerja telah memakan masa yang agak lama berbanding sebelum ini hanya 20 hingga 25 minit berikutan pertukaran LRT dan perlu menaiki bas.

“Memang sukarlah sebab kena tukar- tukar tren, naik bas dan jalan kaki… agak susah sikit. Saya naik tren dari jam 7 pagi sekarang dah 7.40 pagi. Asyik naik turun bas je hari ini,” katanya yang berharap segala permasalahan segera diatasi.

Ahmad Zaki Asyraf

Pandangan sama turut dikongsikan Ahmad Zaki Ashraf, 32, yang tinggal di Kota Damansara, kerana perjalanannya ke stesen Bandaraya mengambil masa hampir satu jam.

“Selalu dari Kota Damansara, saya naik MRT turun dekat Merdeka kemudian tukar LRT Plaza Rakyat terus ke Bandaraya di LPPKN.

“Tapi tadi turun dekat LRT Pasar Seni tukar LRT Masjid Jamek untuk naik bas ke lokasi. Banyak sikit transit jadi hampir satu jam berbanding 40 minit sebelum ini,” ujarnya.

Orang ramai terpaksa menaiki bas perantara yang disediakan oleh RapidKL bagi memudahkan perjalanan selepas perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandar Raya mengalami gangguan disebabkan penjajaran landasan bengkok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

Tinjauan MalaysiaGazette di stesen Masjid Jamek pula mendapati keadaan terkawal malah kekerapan bas perantara yang disediakan Prasarana juga cepat hanya lima hingga 10 minit sahaja.

Malah, kakitangan Prasarana turut memantau keadaan semasa dan memberikan informasi kepada pengguna untuk menggunakan kemudahan bas perantara percuma itu.

Menurut Pavitra, 27 yang tinggal di Ara Damansara, informasi dan perkhidmatan yang disediakan pihak Prasarana amat jelas walaupun pada hari pertama situasi itu berlaku.

“Saya nak ke Sultan Ismail dan sekarang tunggu bas ke Bandaraya. Hari pertama bagi saya bagus sebab diberi penjelasan yang bagus di stesen sana.

“Mereka bagi tahu dekat mana perlu tunggu bas dan setiap lima minit ada bas so i think should be ok untuk cuba first day. Kalau hari seterusnya kena datang awal sedikit sebab dah tahu situasi dia macam mana,” katanya.

Pavitra

Sementara itu, penjawat swasta, Ikhwan Rashid, 31, berkata perkhidmatan bas perantara yang disediakan amat pantas dan tidak perlu menunggu lama walaupun berlaku pertambahan penumpang dari Laluan Kelana Jaya ke stesen Bandaraya.

“Buat masa sekarang okaylah bagi saya walaupun nampak padat dan sesak. Tak macam situasi Jumaat lalu teruk sangat.

“Saya daripada Pudu ke Bandaraya dan hari ini nampak agak sukar sikitlah mungkin perjalanan dalam 10 – 15 minit macam tu.

“Saya harap segera lakukan pembaikanlah sebab kesian juga pada warga emas yang terpaksa bersesak dan berebut tempat semua,” jelasnya.

Orang awam, Ikhwan Rashid.

Terdahulu, Rapid KL akan melanjutkan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel pada waktu puncak pagi dan petang bermula Isnin.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, operasi waktu puncak akan dilanjutkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu jam 7 pagi hingga 9.30 pagi.

Bagi waktu puncak petang pula, (operasi) akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast