Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) bergambar bersama 50 peserta Program PDRM Cakna Syariah Kontinjen Pahang 2023 Dewan IT, Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memastikan anggotanya dapat menjalankan tugas dengan berkesan dengan mempunyai tahap pengetahuan, kemahiran dan minat yang selaras dengan maqasid syariah Islam.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ia penting bagi membentuk warga PDRM yang berakhlak, profesional dan berhemah seterusnya menjadi benteng pertahananan diri dari terjebak dalam gejala negatif dan tidak sihat.

“Amalan disiplin yang baik dan kepimpinan yang berhemah dalam kalangan warga PDRM akan mencerminkan identiti organisasi.

“Sikap ini akan dapat memberikan gambaran kepada masyarakat awam betapa keseluruhan warga PDRM mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi dan boleh dicontohi,” katanya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

Buat julung kalinya, seramai 50 orang Pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), pegawai kanan serta pegawai rendah polis dari seluruh daerah di negeri ini terpilih untuk menyertai Program PDRM Cakna Syariah Kontinjen Pahang 2023 berbentuk latihan berkonsep Training Of Trainer (TOT) dikendalikan sebuah syarikat platform madrasah digital (epondok), BeDaie.

“Program PDRM Cakna Syariah ini merupakan inisiatif yang telah diperkenalkan oleh BeDaie yang diberikan ruang dan peluang dalam memberikan komitmen dan peranan untuk melaksanakan pematuhan syariah di Kontinjen Pahang.

“Saya difahamkan pihak BeDaie telah berusaha memantapkan ajaran hukum syariah dan amalan sunnah dalam kalangan warga PDRM Pahang seperti ilmu fekah, hukum hakam Islam dan bagaimana hukum dan amalan syariah boleh diamalkan ketika bertugas, batas pergaulan dan aurat antara lelaki dan wanita, etika pemakaian dan adab-adab,” katanya.

Ramli berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program PDRM Cakna Syariah Kontinjen Pahang Tahun 2023 yang turut dihadiri Pengasas BeDaie, Ustaz Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani di Dewan IT, Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di sini hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Program PDRM Cakna Syariah Kontinjen Pahang 2023 di Dewan IT, Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di sini hari ini.

Tambahnya, menerusi program yang berlangsung selama dua hari sejak 30 Januari itu, peserta telah didedahkan dengan dua modul patuh syariah iaitu Modul Safinatun Najah dan Modul Itqan selain sesi Perbincangan Tambahan Khas.

“Saya yakin setiap apa yang para peserta telah pelajari dan perolehi sepanjang tempoh program ini sedikit sebanyak akan menjadi titik tolak kepada permulaan dalam menjadi seorang pegawai dan penjawat awam yang berintegriti dan disegani,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar para peserta yang mengikuti program terbabit dapat berkongsi ilmu yang telah diperolehi dengan rakan-rakan lain yang tidak berpeluang menyertai pada kali ini untuk manfaat dan kepentingan bersama. -MalaysiaGazette