shamsul anuar nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Tanggungjawab ahli dan pemimpin UMNO ialah menjaga imej parti supaya sentiasa dilihat baik di mata rakyat, kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Malah, katanya, UMNO sentiasa bersikap terbuka dengan setiap ahli dan pemimpin mempunyai kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, kata beliau, jika kebebasan bersuara yang diamalkan sesetengah ahli dan pemimpin boleh merosakkan parti, ia akan dilihat tidak baik di mata rakyat.

“Kebebasan bersuara dalam parti memang dibenarkan. Malah, realitinya ia akan menyuburkan amalan demokrasi dalam parti dan UMNO mengamalkannya sejak sekian lama.

“Namun, kita mestilah mempunyai kebijaksanaan kerana kebebasan kita bersuara bukan bermakna kita boleh bercakap apa sahaja sehingga melanggar peraturan yang ada dalam parti.

“Tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan ahli ialah menjaga imej parti. Parti mesti sentiasa dilihat baik di mata ahli dan rakyat. Kita bertanggungjawab terhadapnya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk memecat dan menggantung keahlian seramai 42 ahli dan pemimpinnya kerana melanggar disiplin parti.

Turut dipecat bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, manakala Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.

Menurut Shamsul Anuar, jika ada ahli parti menyalahgunakan kebebasan bersuara sehingga merosakkan UMNO, mereka wajar dikenakan tindakan tegas.

“Kerana yang akan menentukan hayat parti kita ialah rakyat. Maka, rugilah parti jika rakyat melihat imej kita terlalu buruk akibat kebebasan bersuara yang diamalkan.

“Hakikatnya tiada orang lain yang akan menjaga imej parti, melainkan kita. Kita bertanggungjawab kepada parti kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. sentiasa dilihat baik di mata rakyat…Sebaliknya banyak onar dan duri….

    .jadi PERASUAH PENERIMA RASUAH CANTAS MENCANTAS GILA KUASA JAWATAN MENGEJAR PROJEK serta JADI MUNAFIKUN adalah SUCIII bagi ahli2 UMNOnGOK

Comments are closed.